zulhijjah yang berlalu pergi

Posted: November 23, 2009 in perkongsian diri

bismillahirrahmanirrahim

Zulkaedah yang telah berlalu pergi bermakna telah tiba kita pada Zulhijjah,bulan yang sinonim dengan bulan menunaikan haji dan hari raya Eidul Adha.namun tidak ramai yang mengenali bulan ini sebagai bulan yang mempunyai kelebihannya tersendiri.Ramai daripada kita yang telah maklum dengan kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum dengan kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).

Dalam satu riwayat yang lain,Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Manakala Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Sudah terang tawaran yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat Islam pada bulan zulhijjah ini.Oleh itu,kita semua hendaklah menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menambahkan amalan kita seterusnya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah.antara amalan yang dianjurkan pada bulan ini ialah menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

Bagi sesiapa yang tidak mampu untuk melakukan ibadah haji mahupun umrah,amalan berpuasa pada 9 hari awal pada bulan Zulhijjah terutamanya pada hari Arafah juga disunatkan. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, aku mengharap Allah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

Amalan bertakbir (Allahu Akbar) dan berzikir padaNya juga amat digalakkan pada bulan ini berdasarkan mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah) pada hari-hari 10 zulhijjah”.Terdapat juga firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah.

Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa juga digalakkan dan semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kita juga harus berusaha untuk memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Kita juga telah disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

Manakala pada 10 zulhijjah dan hari-hari tasyriq (11,12,13 zulhijjah) telah disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan.Ianya merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Pada pagi hari raya,setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Kita patut mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini kerana ianya merupakan hari kebesaran Islam dan sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah kepada kita selama ini,kita menyambutnya dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula kita menyambutnya dengan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

semoga Allah menjadikan kita golongan yang mendapat pengampunan dan maghfirahNya pada zulhijjah ini.ameen

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s