memandang langit

Posted: July 4, 2010 in coretan hati

Salam.

Sejak kecil lagi, saya sangat menyenangi langit. Awan, angin dan matahari, petang dan pagi. Malam berbintang dan terik tengah hari.

***
Melihat langit siang yang cerah biru bertompok-tompok awan putih, daun-daun pokok yang memagari tepi-tepi jalan seperti ribuan bendera hijau yang berkibar ditiup angin, angin yang amat menyamankan ketika keringat menitis membasahi baju dan muka yang dihangati matahari

Sukar dibayangkan betapa gembira dan damainya ketika itu.

Sewaktu usia masih kecil (7-8 tahun ketika itu),sy suka sekali bermain di atas pangkir buatan arwah atuk yg berada di bawah rimbunan pokok rendang.Membaca buku , ditemani matahari siang yang cerah, langit, awan, dan pepohon yang setia dengan biru, putih dan hijau warna mereka, serta angin yang menghembus pergi semua keresahan atau duka.

pulang dari sekolah sebelum sempat menanggalkan baju sekolah,sy akan pergi ke sana.kebetulan ianya berdekatan dgn sungai di belakang rumah,anginnya sepoi2 bahasa terus mendamaikan saya.kadang2 sy akan memanjat pokok yg rendang dan duduk berbaring di situ.

Petang-petang, saya akan duduk di situ, melihat langit senja. Di sini pemandangannya luas dan lapang, tidak ada bukit atau jalan raya yang diserabuti kenderaan. Tidak berbuat apa-apa, hanya duduk, melihat awan yang bergerak, lembut, yakin, perlahan dan setia. Melihat warna langit yang berubah-ubah, dari timur santak ke barat, seperti perubahan rona dalam julat cahaya. Biru gelap yang kehitam-hitaman, ungu, merah, kuning, keemas-emasan. Sesekali, langit menjadi merah jambu dan cahayanya terbias masuk melalui kaca tingkap di dapur dan ruang tamu.

Duduk melihat langit dan awan apabila hari menjelang petang hinggalah Maghrib sampai. Bagaimana cahaya matahari berubah tona daripada terang yang hangat pada tengah hari, menjadi terang yang emas, kemudian terang yang pekat, berkilau, diiringi bayang-bayang yang memanjang dan teduh. Kemudian bertukar menjadi pesta warna yang lembut dan tajam, sebelum perlahan-lahan semuanya semakin gelap ditinta warna malam.

Allah, Maha Suci Engkau yang menciptakan langit, awan, dan matahari, perpindahan yang terlalu indah untuk waktu-waktu dalam hari.

***

Di dalam bilik sy di tingkat atas pula , sy akan memanjat ke atas bumbung,bersandar ditepi tingkap ketika awan kelabu retak meluruhkan hujan yang putih, hembusan ribut kencang yang tebal dengan titis-titis air lembap, memenuhkan saya dengan romantika dan ketenteraman. Deraian hujan melantun dari atap zink rumah jiran dan aspal jalan membentuk seribu percikan halus yang berapung umpama kabus.

Berkereta bersama keluarga pada malam hari, saya suka membuka jendela dan melihat langit. Atau sewaktu malam-malam di rumah, ketika-ketikanya saya kepingin berteleku di beranda berkawan dengan awan. Berbintang atau tidak, disinari bulan atau sepi, memandang awan tebal yang bergerak-gerak sudah cukup menghiburkan. Perlahan-lahan, awan kelabu hitam yang memayungi sawah padi, bukit bukau atau bentangan padang, belayar merentas langit, kepul-kepul yang tebal bercantum dan berpisah sesama sendiri, tarian yang sabar, perlahan, damai, tidak akan dapat disedari tanpa pemerhatian.

Apatah lagi jika malam berbintang, atau ada bulan yang jika penuh mengambang, bulatan cahaya perak itu dikelilingi halo berlapis-lapis, kuning, barangkali kebiruan, malah kehijauan!

***

kemudian apabila sudah besar sedikit,sy mula pandai mengayuh basikal pergi ke sungai yg terdapat di hujung kampung sy,duduk disitu melihat air sungai mengalir tanpa jemu.sy pergi ke sana senyap2 tanpa pengetahuan abah dan ma,kerana bimbang jika mrk mengetahui,sy tidak dpt lg pergi ke sana.sambil mengayuh basikal sy singgah di kedai membeli aiksrim kemudian melalui jalan kampung yg berliku2 pergi ke sungai.itulah rutin sy.

Sewaktu di kisas, menunggu waktu makan malam slps prep, saya mencari ruang dan masa untuk berseorangan dan duduk di Astaka untuk melihat awan yang bergerak-gerak menyeberangi langit petang.

Hari-hari yang laju, manusia yang berlari mengejar urusan dengan rusuh dan penat, seperti ditertawakan oleh kepulan awan yang damai, yang tenang, mengapung, merapat, bercantum, berpisah, dan bercantum semula, sementara cahaya matahari berubah rona, menjadi matang, menjadi girang, kemudian menjadi malam.

***

Apabila berjalan pulang dari hospital pada petang-petang hari di alex, dalam kepenatan, saya sering digembirakan oleh cahaya matahari, angin, dan awan. Terasa walaupun hidup ini sangat sibuk dan meletihkan, sangat bersendiri, masih banyak yang diizinkan Allah untuk menghiburkan dan menenangkan.

Dalam petang-petang yang cukup tenteram, mengenang nikmat dan keindahan yang telah diizinkan Allah untuk saya mengecapinya, terlalu, terlalu banyak. Syukur amat kerana Dia sentiasa mengilhamkan saya untuk berhenti, beristirehat daripada kalut-kalut hidup, untuk merenung bintang, memuisikan hujan, dan memandang awan. Menatap kembang liar dan rimbun belukar di tepi jalan, menghargai lumpur lecak, menadah titik embun dan memetik bunga lalang.

Apabila saya menoleh ke belakang, mengimbas semula masa lepas, detik-detik itulah antara yang paling saya ingati untuk menggambarkan indahnya sebuah kehidupan.

salam,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s