Archive for the ‘coretan hati’ Category

omongan

Posted: March 11, 2012 in coretan hati

bismillah

lama tidak duduk singgah disini..terima kasih seorang ukhti yang giat menulis di hadapan sy,memberikan suntikan semangat utk sy menulis malam ini.walaupun mungkin penulisan yang kosong,tapi ianya datang dari hati.itu lebih penting kan.hehe

jika ditanya apa perasaan sy sekarang.hanya satu jawapan yang saya akan tuturkan.rindu.

bukan tidak menghargai kehidupan sekarang,jauh lagi untuk mengeluh bebanan yang ada,atau menyesali perjalanan ini.itu jauh sekali.cuma kadang2,terasa ingin merindui diri saya yang dahulu.

menghirup udara pantai yang nyaman,diterangi cahaya matahari yang riang,mendengar muzikal instrumental yang segar,sambil melukis atau menulis..

atau berlari selajunya,di tepi pantai yang segar,sambil mendengar instrumental sekuatnya sebagai halwa telinga,ke gelanggang bola keranjang dan bertempur sepuasnya..

atau hanya berjalan-jalan pada waktu pagi di pantai hanya sekadar memandang laut sambil menikmati secangkir kopi..

sangat segar sy rasakan ketika sy mengenang itu semua.itu saya.dan saya akan tetap merindui diri saya itu.

bukan saya katakan dakwah ini meleburkan identiti individu..tapi ianya hanyalah persoalan masa.

atau tarbiyyah ini rigid? jika begitu ianya bukan tarbiyyah yang baik.kerana kita tetap adalah manusia.yang punyai bermacam kecenderungan.yang sebabkan hati lebih dekat dengannya.hidup ini bukan semata usrah,qiam dan tahdir buku.sa’ah dan sa’ah seperti kata Rasululullah.fitrah dan kecenderungan perlu dirai,tetapi bukanlah berlebihan.oleh itu sy rasa begitu penting kita semua cari sa’ah itu sekejap,bukan untuk bermalas-malasan tetapi duduk berehat seketika mengutip kembali kekuatan menempuh hari esok

baru sahaja menghabiskan masa bersama ukhti jauh.jauh bukan kerana jauh tinggalnya,jauh kerana terasa begitu lama sekali tidak menghabiskan masa bercerita,selama ini bukan tidak bercerita,tetapi akhirnya cerita pun akan berkisar medan amal dan masalah.

sebab itu saya begitu rindu.

sedang asyik berbual perhatianku sebenarnya leka beralih-alih kepada pucuk kurma dibuai angin, langit biru bersih dan terang matahari yang nyaman, tersedia untuk dinikmati . Indahnya petang yang diciptakan Allah SWT. Kehidupan yang berjalan hari demi hari di bawah bumbung hospital, dalam kepungan dinding wad-wad yang tertutup dan sarat kalut, pulang pula sibuk menghadiri pelbagai tuntutan dakwah ,menghadap laptop berjam lamanya ,hanya untuk mebaca dan merespon semua emel. Sampai aku terlupa tentang matahari yang riang, langit yang luas dan angin yang bebas. Kadang-kadang, aku mengenang semula kehidupan zaman kanak-kanak. Ada halaman rumah yang lapang ayam itik dan angsa, langit tinggi terbuka, dan aku berlari- lari girang memanggil angin datang menerpa. Ada pokok jambu untuk dipanjat, kucing untuk dikejar, ada seribu satu cerita untuk diangankan dan dikarang dalam waktu senggang yang tidak berkesudahan. Aku mengenang juga masa-masa manis sewaktu awal-awal bergelar perantau  dahulu. Langit rendah seperti payung raksasa, sementara aku di bawahnya berlari-lari ke sana sini,  merayau-rayau ke sana ke mari  mengenderai tramco menyelusuri pantai, lalu hujung minggunya dipenuhi oleh usrah dan aktiviti.

Mengapa hari ini, ketika ini, aku harus bekerja lelah berpuluh-puluh jam seminggu, sehingga kulit muka menjadi kusam pucat, mata cengkung tidak cukup rehat dan sendi-sendi lenguh berkejaran ke sana sini? Berulang alik ke cairo kadang-kadang hampir 3kali seminggu,menyiapkan pelbagai laporan,memikirkan beban dakwah yang tidak pernah berkesudahan? Mengapa aku harus melayan bimbang dan stres mengenangkan penilaian pembelajaran?Mengapa aku harus menjadi pelajar perubatan,yang harus berkerja keras untuk belajar disamping tanggungjawab yang bertimbun dalam dakwah?Mengapa aku bukan ahli biasa dan pelajar biasa,wartawan misalnya? Mengapa aku bukan apa-apa sahaja, asal bukan pemegang karier yang gawat dan ruwet serupa ini dan ahli kepada dakwah yang berat ini?

Tuhan yang Maha Bijaksana, mengilhamkan untuk aku menemukan beberapa jawapan, di sebalik kenangan dan kerinduan ini. Dia mengurniakan aku panas dan rimas dunia, supaya aku lebih rindu kepada dinginnya syurga. Dia mengurniakan aku kalut dan keluh kesah kehidupan, supaya aku tahu menghargai kenyamanan dan ketenangan. Dia mengurniakan aku penat dan lelah, supaya aku memahami mahalnya sebuah kerehatan. Nyaman, tenang dan rehat sebenar, yang pastinya hanya ada selepas bergraduas daripada sekolah cabaran bernama dunia, yang perlahan-lahan sudah aku langkahi masuk ke peringkat seterusnya, selepas menyudahi alam persekolahan, universiti dan aktivisme mahasiswa. Bijaksananya Tuhan tidak membiarkan aku hancur dan hanyut dalam keletihan namun diizinkanNya aku sesekali mengecap damai dan aman – ketika menghayun langkah pulang selepas hari kuliah yang panjang, dan bulan mengambang penuh di langit ketika matahari petang tersenyum memayungi aku yang baru selesai bertugas semalaman penuh berusrah dan meeting, dan ketika aku diizinkan duduk beriktikaf di  masjid pada petang hari, sambil melihat pucuk kurma hijau berkilau melenggok-lenggok dibuai angin sore berbau wangi. Damai dan aman yang sesekali datang ini mengingatkan aku bahawa ada syurga yang maha bahagia dalam perjanjian Tuhan dengan hambaNya. Seperti umat Islam Andalus yang membina istana indah dengan taman dan air pancuran untuk mengingatkan mereka tentang gambaran syurga, begitulah kita di dunia ini, yang harus saja diingatkan terus kepada syurga, setiap kali melihat keindahan yang dipamerkan Allah SWT. Kalaulah dunia ini yang tidak bererti apa-apa sudah begitu cantik dan menenangkan pada waktu-waktunya, apatah lagi syurga yang merupakan kemuncak anugerah buat hamba Tuhan yang berjaya? Hidup yang pendek ini bukanlah untuk berehat-rehat. Kenikmatan yang diizinkan Allah, andai dilalaikan olehnya lalu hanyut dibuai keseronokan dan ketenangan dunia, maka mungkin hanya setakat itu sahaja indah yang layak buat kita. Mungkin tiada indah syurga yang menanti, kerana imbangan payah-mudah kita di dunia, tidak cukup untuk menghapuskan dosa, tidak padan untuk menambahkan pahala. Seteruk mana pun kerja waktu oncall nanti, akan habis juga, dan dapat pulang untuk tidur berpanjangan. Selazat mana pun bersantai waktu cuti, akan tamat juga, dan esok perlu bangun awal untuk bekerja semula. Enam tahun di luar negara berlalu dengan amat cepat. Susah payah hidup, nanti akan selesai juga, dan selepas hayat berakhir, aku akan menoleh dan berasa bahawa sesungguhnya hayatku amat pendek dan sekejap. Tuhan menjadikan zaman kanak-kanak yang indah dan manis buat kita, lalu ia berakhir dan kita menjadi dewasa, lalu dipertanggungjawabkan dengan seribu satu cubaan. Pantas kita berlari ke hadapan tersungkur rebah menangis namun terus terbongkok- bongkok mengutip redha Tuhan, dengan harapan dan sangka baik, agar sesudah sampai ke penghujung perjalanan, buku kehidupan ditutup, dan kita kembali semula kepada zaman yang indah dan manis, kali kali ini abadi tanpa kesudahan. Sebelum tiba saat itu, bayangan-bayangan syurga yang diperlihatkanNya di dunia, adalah dugaan, dan motivasi buat kita. dunia, adalah dugaan, dan motivasi buat kita. motivasi buat kita. Mohon wahai Allah, biar aku yang lemah kerdil lagi selalu lalai dan tewas ini, berjaya.

rasa hati

Posted: February 8, 2012 in coretan hati

mungkin
kalau aku laki-laki
yang tidak perlu takut dikejar usia
aku bisa ungkapkan
tidak mahu
tidak perlu
atau paling-paling tidak
membalas tenang tanpa ragu
“tunggulah, bukan sekarang
aku menunggu cintaku yang benar-benar
yang sekarang belum tiba
mungkin belum tamat bersuluk dalam guanya”

menangis

Posted: April 18, 2011 in coretan hati

hari ini aku menangis lagi,

entah kenapa rasa diri tidak keruan,

mengenangkan dosa dan kelemahan,

aku rasa aku ingin berlari pergi dari dunia ini,

tapi kemana aku ingin bawa diri ini?

semuanya kepunyaan Tuhan,

aku bukanlah sesiapa,

aku penuh berlumur lumpur dosa,

aku berharap aku punya cukup waktu,

untuk belajar dan terus membaiki diri,

waktu

perlahanlah untuk aku

belajar

Posted: April 4, 2011 in coretan hati

Kata

mudah

murah

percuma

Kelat

lidah

kita

merasa

Bukan mempersoal- melangut cuma

Aku manusia biasa, kadang lupa

Jangan buta pada yang ada

Rangkul aku waktu hancur

Minta nyawa dan asa

Aku manusia biasa, kadang sia

Melihat hujan sebagai rahmat; biar basah kuyup ia bukan beban

Mencari sayang di dalam benci; merendah diri, membuka hati

Melihat gelas separuh penuh; yang kosong itu mungkin kita perlu

Mencari syukur dalam tiap-tiap dugaan Tuhan

Sukarnya namun aku belajar

Melihat hujan sebagai rahmat; biar basah kuyup ia bukan beban

Mencari helai daun yang hijau, dalam terbentang luas kemarau

Melihat gelas separuh penuh; yang kosong itu mungkin kita perlu

Mencari syukur dalam tiap-tiap dugaan Tuhan

Sukarnya namun aku belajar

Sukarnya namun aku belajar

Sukarnya namun aku belajar …dalam tiap-tiap dugaan Tuhan

Sukarnya namun aku belajar

lirik dari wani ardy,credit to her.

aku yang masih sedang cuba belajar,dan akan terus belajar insyaAllah

perubahan

Posted: March 13, 2011 in coretan hati

Jiwa yang hilang, seperti sudah pulang.

Belum sepenuhnya, tapi bangkit daripada lena sarat mimpi ronta yang panjang itu pun sudah cukup melegakan

Kehidupan ini terbina daripada perubahan yang tidak ada henti-hentinya. Bezanya cuma pada magnitud dan arah. Lebih besar magnitudnya, lebih ketara arahnya, maka lebih terasalah ia. Lebih besarlah impaknya. Tidak akan ada hidup tanpa perubahan, sama seperti tidak ada kehidupan tanpa kematian, jadi mengapa perlu takut-takut, sedih-sedih, bimbang-bimbang? Bukankah semuanya dalam tangan Allah?

Cakap senang. Senang sekali. Walaupun apa yang dituturkan itu adalah kebenaran.

Sesungguhnya bersangka baik dengan Allah jauh lebih mudah daripada bersangka baik dengan manusia. Mengapa ya? Mungkin sekali kerana Allah tidak pernah berubah, sifatNya tetap itu, sehingga akhir waktu. Janji-janjiNya pasti. Dia Maha Suci. Sedangkan manusia tidak begitu!

Manusia itu fitrahnya dinamik dan bukan statik, berubah setiap saat dan detik, terutamanya manusia yang mengkal, yang muda, seperti saya, dan seperti banyak orang di sekeliling saya. Saya berubah, dan orang-orang di sekeliling saya turut berubah.

Saya cuba menghimbau ratus-ratus dan ribu-ribu hari lepas yang pernah saya lalui dengan tidak terhitung kiraan nafas. Saya tahu walaupun saya tetap saya pada roh dan jasad, walaupun ada sari personaliti yang tetap mendarah daging sejak saya mula mengerti apa itu dunia, takah-takah kecil dan besar yang saya telusuri dengan sungkur rebah, dengan tawa dan tangis, telah mengubah saya sedikit demi sedikit sehingga menjadi diri saya yang wujud hari ini, dan perubahan itu tidak akan berhenti selagi saya masih bernyawa. Menoleh ke belakang, saya syukur amat, terasa Allah itu terlalu baik kerana mengurniakan saya perubahan demi perubahan yang akhirnya menempatkan saya di sini. Benar tidak semuanya manis, malah terlalu banyak yang pedih dan pahit, meskipun tidak sekali-kali saya bermaksud hendak mengeluh atau mengungkit – alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Saya menghargai semua yang pernah berlaku kepada saya, kerana ia membentuk saya yang berdiri hari ini.

Tidak perlu terlalu obses dengan manusia. Dengan apa yang manusia fikirkan tentang kita, apa yang manusia katakan tentang kita. Tentang benci dan sayang mereka. Manusia – rakan, teman, siapa saja – datang dan pergi. Sekarang mungkin kita rasa mereka penting dan mustahak. Esok? Lusa? Tahun hadapan? Sudahnya kita akan berdiri sendirian. Sendirian menghadapi apa sahaja yang datang. Yang ada hanya diri, hanya Tuhan. Mati nanti tetap seorang.

Aduh, sekali lagi, cakap itu senang!

Dulu, saya insan naif. Tapi semua cerita yang pernah saya lalui  mengubah saya menjadi skeptikal dengan manusia. Dengan kawan dan teman. Pun, saya syukur, kerana seperti bunga-bunga dan belai manja, luka-luka juga banyak mengajar saya menjadi manusia dan mendepani manusia.

Meniti hidup, akan ada juga teman-teman yang berjaya merempuh ‘benteng’. Yang saya tumpahkan kasih, curahkan sayang, hamburkan percaya, tanpa beragak-agak. Walaupun mereka tetap datang dan pergi, tapi sewaktu bersama, saya benar-benar memberikan hati apabila saya diberikan hati. Kadang-kadang sehingga lupa, mereka dan saya adalah manusia yang mampu dan akan berubah, dengan pelbagai magnitud dan arah. Ah, seperti melalut pula. Balik kepada topik asal, perubahan.

Perlukah manusia rasa bersalah kerana berubah, sedangkan perubahan itu sesuatu yang MESTI? Seperti cinta yang datang sendiri dan perlu direntap untuk mencabutnya dan mencampaknya pergi – perubahan juga bukan boleh dipanggil-panggil dan dienyahkan sesuka hati. Haha, saya tahu, akan ada penghujah yang berkata, “bergantung kepada perubahan itu ke arah kebaikan atau keburukan”. Baiklah, adakah setiap perubahan yang kita lihat, yang kita rasai, baik pada diri sendiri mahupun pada orang lain, dapat kita terus nilai arahnya? Magnitudnya mungkin, tapi arahnya? Yang mungkin tidak terus tampak serta-merta.

Perubahan dan insan yang berubah adalah dua entiti yang mungkin bertindih, tapi tetap berlainan. Menanggapi perubahan yang magnitudnya besar sudah cukup sukar. Bagaimana pula hendak menangani dan menanggapi insan yang berubah? Dan ingat, saya tidak semata-mata merujuk kepada orang lain, tetapi juga diri sendiri. Seringkali kita merenung cermin dan bertanya diri sendiri, kenalkah aku kepada insan yang kulihat? Adakah tanpa sedar, kita telah berubah dengan perubahan yang kita sendiri sukar fahami, dan menukar diri menjadi seseorang yang hampir tidak dikenali?
(mungkin saya sudah overdose dgn psychiatry subjek skrg)Haha
Diri yang berubah mungkin relatifnya mudah untuk ditangani. Macam-macam mana pun, ia tetap diri sendiri. Saya sendiri. Kalau saya rasa saya ‘hilang’ identiti, keliru siapa diri, tidak ada sesiapa yang akan menghalang pencarian saya.

Bagaimana kalau orang lain yang ‘berubah’? Orang yang pernah bertukar-tukar hati dengan saya, lalu inci-inci gerak hatinya (atau mereka) turut dapat saya rasai. Sungguh, apabila bersedia bertukar-tukar hati dengan insan lain, maka perubahan demi perubahan yang berlaku ‘wajib’ dijangka dan ditanggapi satu demi satu. Idealis yang hidup di awang-awanganlah saya kalau mengharapkan ‘keamanan dan kedamaian’ yang statik, ‘persetujuan bersama’ dalam semua perkara, selama-lamanya, selagi masih berpijak di dunia.

Idealis yang hidup di awang-awanganlah kamu semua (siapa sahaja termasuk saya), kalau menterjemah hidup dengan persepsi kamu semata-mata, menafikan bulat-bulat definisi daripada kamus orang lain! Ah, abaikan.

Perubahan dan insan yang berubah perlu ditanggapi dengan cara yang berbeza. Kita mungkin tidak bersetuju dengan perubahan itu pada penilaian zahir, tapi berilah ruang kepada insan yang berubah itu. Beri ruang untuk dia (saya?) menanggapi perubahan yang kadang-kadang dipaksakan untuk dihadapi, yang ada waktunya disedari hanya setelah ia tiba dan menjarah ruhi.

Dalam detik-detik genting inilah, setiap kasih dan sayang, ikrar dan janji akan teruji. Saya pasrah tentang penilaian insan terhadap diri saya sendiri, apapun manusia datang, dan manusia pergi, kesudahannya saya tetap sendiri!

Namun demikian, ada insan-insan yang saya sayang, yang telah bertukar-tukar hati dengan saya – yang saya yakin, yang saya harap, datang dalam hidup saya bukan untuk pergi. Saya tidak tahu logika di sebalik pernyataan ini, tapi saya akur dan akui, ada waktu-waktunya kita – saya – perlu berhenti meragui dan mencurigai, serahkan saja kepada ‘rasa kenal’ dan keyakinan yang berakar daripada pengalaman dan gerak hati, lantas tawakal kepada Ilahi.

Kerana sangat sayang dan sangat percaya, biarlah apa perubahan pun yang saya rasa, yang saya lihat, saya tetap sangat sayang dan sangat percaya, bersangka baik dan berlapang dada. Selagi mampu dan terdaya, selagi saya masih kenal dia siapa. Dan dalam ruang-ruang kelabu itu, saya tidak akan putus menitipkan doa, menghulurkan pendapat dan pertolongan dengan harapan insan yang saya sangat sayang tidak akan berubah ke arah yang songsang. Hanya ada satu arah yang membawa ke arah kebahagiaan sebenar, bukan? Cara berjalan itu pelbagai, tapi arah, hanya ada satu.

Dan saya juga mengharap, insan-insan yang saya sayang dan percaya kepada saya, bersangka baik dan berlapang dada dengan saya sentiasa, walau apapun perubahan yang kalian lihat pada saya. Selagi mampu dan terdaya, selagi kalian masih kenal saya siapa. Juga jangan putus menitipkan doa, menghulurkan pendapat dan pertolongan, semoga dalam galuran hidup yang panjang ini saya tidak akan pernah berubah ke arah yang songsang. Bukankah perubahan itu akan terjadi, dan mesti terjadi?

Terima kasih kepada teman-teman yang menyayangi dan mempercayai saya. Terima kasih juga kepada teman-teman yang mengizinkan saya menyayangi dan mempercayai kamu semua.

Terima kasih kepada teman-teman yang saya tanggapi sebagai paling istimewa dan menganggap saya istimewa.

Perubahan boleh saja jadi mengelirukan, malah menyakitkan. Prosesnya itulah. Kalau sudah berlaku dengan sempurna, lain pula.

(Air yang sedang membeku menjadi ais, kalau diterjah sebelum keras, akan meretak dan pecah. )

Hasrat ini memang kedengarannya terlalu idealis dan eskapis, malah tidak realistik langsung, tapi bukan hanya sekali saya pernah mengimpikan agar hidup saya tidak dijengah lagi oleh perubahan-perubahan yang melukakan.

Bolehkah begitu? Bolehkah hidup dan berkembang bijak serta matang tanpa dijengah apa-apa kelukaan? Saya tahu logiknya saya tidak akan menjadi seperti sekarang kalau sejarah saya sejernih wajah tasik yang beriak-riak tenang. Kembali kepada asal, semuanya dalam tangan Allah, Tuhan yang Maha Suci dan sama sekali tidak akan menzalimi.

(Ah, percaya dan sayang akan membebat semua kepedihan, merawat segala kerisauan, menjadi penawar untuk semua kelat-pahit perubahan! Semoga. )

Mohon hidayah, taufiq dan pemeliharaan dari Tuhan. Untuk saya, untuk semua, dan untuk setiap yang menghuni dunia.

p/s : minta maaf entri ini tidak disusun sempurna.idea yang melompat2.itu mungkin lahir dari perasaan dalam hati yang bercampur baur

of malaysia and tarbiyyah

Posted: March 12, 2011 in coretan hati

assalamualaikum wbt

memang aku cukup malu utk menulis disini.mungkin jua boleh gelarkan aku hangat-hangat tahi ayam.mungkin jua boleh dipanggil semangat bermusim.kadang bukannya apa,apabila berada di mesir,keadaan sangat sibuk menyebabkan aku terpaksa menyimpan semuanya.tapi malu juga utk ku akui,aku bukanlah sangat sibuk dengan pelbagai kerja dakwah dan tarbiyyah,tapi mungkin juga aku lebih disibukkan dengan duniaku yg melalaikan.

sungguh sayu perkataan itu,apabila kita disibukkan dengan urusan dunia.sedangkan kita tahu kita dicipta utk beribadah kepadaNya setiap detik waktu,setiap helaan nafas,setiap kali jantung berdegup.

ya Allah,ampunilah kelalaian hambaMu ini..,

kadang malu utk mengakui diri yang berada dlm tarbiyyah,mungkin dipandang sebagai role model masyarakat sekeliling,namun hakikatnya,tarbiyyah dari Allah itu cukup susah,bukan semudah mengenakan tudung labuh,bukan semudah bercakap tentang perkara keagamaan semata-mata.

kadang malu dengan manusia yang belum berada bersama dalam tarbiyyah ini,kadang kurasakan mereka jauh lebih baik dari diriku,lantas kusoal diri sendiri,apa maksud tarbiyyah sebenarnya?

adakah aku layak digelar seorang daie namun masih lagi bersalut noda dan lumpur dosa?

adakah sudah sempurna ibadah,nawafil,ubudiyyahku,rasa pergantungan yang tinggi,atau aku hanya bertopengkan tarbiyyah itu sendiri?

adakah masa,wang ringgit,peluh keringatku telah dihabiskan semuanya utk tarbiyyah dan dakwah,atau aku lebih suka menghabiskan ianya utk memuaskan nafsu rehatku?

lantas aku mencalit dakwah dan tarbiyyah yang mulia ini dengan lumpur dosaku dan memburukkan ia

dan sedikit demi sedikit semuanya hilang dibawa arus dunia,semangat yang tinggal abu

dalam hujan ini,teringatku kisah dulu,di waktu hati terpaut menyahut seruan dakwah.ketika itu kesungguhan untuk membaiki diri kerana lillahi.itu sahaja aku harap.tidak lebih.namun Allah telah memberiku lebih dari itu.dan kadang bila berada diatas yang masih berlumur noda dan dosa,aku sangat sayu bila mengingati saat dibawah dahulu.saat awal ketika melangkah masuk ke dunia tarbiyyah,mungkin lebih bersih niatku,mungkin lebih bersungguh aku ketika itu.di mana semangat itu ya Allah?apa yang sebenarnya aku harapkan daripada tarbiyyah ini?

keluhan ukhti-ukhtiku,seorang demi seorang,sampai ke telingaku.ya,aku akui perjalanan semakin berat,bebanan semakin bertambah,

kadang rasa tidak mampu dipikul dan dikendong lagi,

kadang melihat ukhti sendiri tersungkur,kadang melihatnya pergi memilih jalan yang lain,

kadang kita keliru di tengah jalan;antara diri dan tarbiyyah,mana yang perlu diutamakan,

kadang rasa ingin berhenti dan berehat.full stop.

masalah demi masalah yang timbul,bilangan qaedah sulbah yang semakin sedikit,seorang demi seorang hanyut dibawa arus pergi,di mana lagi aku boleh bergantung?pada siapa lagi aku boleh harapkan utk memberiku semangat seperti dahulu?

lantas aku memandang diri sendiri,

tanyalah kepada diri sendiri,renunglah sedalam-dalamnya,sehingga sampai ke lubuk hati

tangisilah kekurangan diri di waktu sujud itu

kejilah diri yang berlumur dosa dan lalai,yang lebih rela berehat dan memuaskan nafsu

dan berdoalah sesungguh-sungguhnya,

semoga Allah jua yang berikan kalian dan kita semua jawapan,

yang datang dari lubuk hati yang ikhlas keranaNya.dan nescaya Allah akan tunjukkan jalan dan berikan kekuatan yang dicari

lantas diri bangun dengan tersenyum,berbekalkan jawapan dari Rabb

itu jawapan aku,itu satu keyakinan.

walau bukan sempurna,walau penuh khilaf.namun aku yakin inilah jalannya

menyaksikan kebangkitan masyarakat mesir arab yang ditindas sekian lama didepan mata,tidak mahukah aku menghirup udara perjuangan disitu?

melangkah melalui darah-darah syuhada’ yang berlumuran di hadapan masjid Game’ Ibrahim,tidak mahukah aku bangkit memperjuangkan nasib bangsaku ini?

mereka telah mati untuk membuktikannya,dan akhirnya mesir bebas walaupun mereka tidak sempat untuk mengetahuinya.

bila pulang ke tanah air sendiri,aku banyak memerhati dan membuat resolusi sendiri

sudah cukupkah tarbiyyah yang aku terima selama ini dimesir,yang dikeluhkan oleh semua akan beratnya tarbiyyah itu?

perjuangan sehingga mengorbankan diri dan nyawa;sudah sampaikah aku ke tahap itu?seperti yang dibuktikan mereka semua,yang mungkin tidak berada dalam tarbiyyah sekalipun.

aku malu.cukup malu untuk mengaku.namun secara jujurnya aku katakan masih tidak cukup.masih terlalu kurang bekalan itu jika dibandingkan realiti di tanah airku.mungkin tidak akan pernah cukup sekalipun aku menghirup udara mesir 10 tahun sekalipun.

keluarga,kerjaya,waktu,suasana,terlalu banyak cubaan di malaysia utk disenaraikan.

carilah bekalan sebanyak-banyaknya,buatlah persiapan sebaik-baiknya,sebelum masa dipanggil utk turun ke medan perang jihad sebenarnya.

kerana terlalu ramai yang akan gugur

terlalu ramai yang akan hanyut

terlalu ramai yang akan lupa

terlalu ramai yang akan kehabisan bekalan

sehingga hanya tinggal beberapa sahaja yang akan mara ke garisan penamat

membenarkan janji yang dilafazkan beribu orang sebelum ini

aku,bolehkah sampai ke situ?

 

 

 

Dunia

Posted: July 25, 2010 in coretan hati

Slm wbt

Sudah lama tidak menjenguk ke sini.yang pastinya bukan kerana sibuk menelaah buku.haha.

Saya hanya ada satu harapan sekarang.Semoga cuti summer cepat datang!

Bukan kerana sy ingin bercuti daripada menelaah buku2 medic (tp ianya boleh masuk top 5 antara sebab :D) ,atau tidur sepuas-puasnya,atau pergi bercuti merehatkan minda

Tapi sy ingin mengisi kembali amal jamaie sy yang beku.Mungkin sy tidak kering dalam amalan harian,tp saya cukup rasa beku dengan fikrah sy yang tidak berkembang sekarang.Saya lebih seronok berada dirumah,membuat amalan harian..Terasa begitu malas utk membuat kerja2 amal jamaie dan memberikan alasan yg cukup bagus dengan mahu menelaah pelajaran dirumah

Azam sy utk menghabiskan sebanyak mana buku2 fikrah yang ada pada waktu summer ini,yang harapnya boleh menggerakkan saya pada tahun hadapan.ameen.ya Allah makbulkanlah!!!

Keterikatan dengan dunia selalu membuat kita berasa lelah. Bosan, menyampah, penat, benci, rasa berkarat, berat, mahu tinggalkan semuanya!  Sama juga barangkali dengan para agamawan fakir (dalam hampir semua agama golongan ini wujud, dalam Islam sering dilabel ‘sufi’ – abaikan tepat tidaknya label itu) yang memilih hidup terasing atau merempat. Mahu memutuskan rantai yang mengikat diri kepada dunia dan membebaskan diri daripada segala keserabutan. Mahu bersatu dengan alam, berserah kepada takdir, atau jika dipandang daripada perspektif religius, mahu berdua-duaan dengan Tuhan dan membebaskan jiwa untuk mencapai maqam spiritual yang lebih tinggi daripada orang awam yang sehari-harian bergerak dalam rutin yang membekukan.

Tapi…

Bagaimana dengan umat yang merana? Ada yang kelaparan, ada yang terkqdang sakit tidak ada siapa mahu (atau mampu) ubatkan. Ada yang ‘sesat dalam cahaya’ di tengah kota. Kesedaran tentang masalah ini dengan sendirinya mendatangkan tanggungjawab untuk melakukan sesuatu. Ya, Tuhan melihat semuanya, Tuhan tahu semuanya, dan Tuhan tidak memerlukan kita untuk membantu Dia menyelesaikan masalah. Tetapi Dia tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia, dan adanya keburukan ini dalam masyarakat adalah sebahagian daripada kebijaksanaanNya dalam menguji manusia, baik yang menderita mahupun yang berkuasa, baik yang buta tersesat mahupun yang cerah melihat. Dalam konteks realiti hari ini, umumnya, mencari syurga tidak cukup dengan berzikir di dalam gua sementara umat di luar menjadi porak peranda.

Itu alasan yang mulia. Noble. Seperti seorang pelajar yang mengaku memilih bidang yang sukar dan mencabar (seperti perubatan..haih) kerana mahu berbakti kepada manusia sejagat (sambil membetulkan niat supaya tidak mengutamakan prestij dan harta benda yang akan bergolek datang). Seperti seorang pelajar yang memilih untuk berdiam diri daripada melontarkan apa-apa kritikan atau tindakan yang mendatangkan risiko kepada pengajiannya, dengan alasan mengutamakan pengajian dan ijazah yang bakal diperoleh untuk berbakti kepada masyarakat ‘apabila tiba waktu yang sesuai nanti’. Seperti seorang pelajar yang menjustifikasikan kecenderungannya kepada keuntungan dan harta benda yang bakal diperoleh selepas bekerjaya, dengan menyatakan bahawa kekuatan ekonominya nanti akan digunakan untuk membela agamanya dan membantu orang-orang yang memerlukan.

Tapi…

Mungkinkah sebenarnya apabila kita tidak mahu melepaskan kesenangan dan kemewahan hidup, alasannya adalah semudah “Aku tidak mahu melepaskan kesenangan dan kemewahan hidup” sahaja. Kita terpesona dengan kehidupan manusia yang bebas daripada ikatan duniawi – manusia-manusia yang zuhud dan tenang dalam kemerdekaan mereka sementara kita terperangkap dalam the rat race. Kita ternganga mendengar cerita-cerita keunikan, keanehan, dan kebijaksanaan mereka. Malah sekadar kedamaian hidup berladang di perkampungan Amish atau tinggal di rumah panjang Iban dalam dakapan alam semulajadi sudah cukup mengkhayalkan. Lantas kita berangan-angan mahu menjadi begitu juga, tidak terikat dengan dunia, mesra dengan Tuhan, aman dalam keagungan spiritual, dan esok paginya kita bangun dan begitu sukar melepaskan bantal untuk menghadapi dunia yang melelahkan. Bantal dan tilam tiba-tiba menjadi terlalu indah untuk dilepaskan, dan kelihatan seperti imbalan yang berbaloi untuk terus menghadapi kacau-bilau dunia.

Kita sebenarnya takut melepaskan kesenangan dan kemewahan yang ada, bukan kerana kita tidak mampu berbakti dan berbudi tanpanya. Para sahabat Nabi S.A.W., Mahatma Gandhi, dan Mother Teresa, berjuang dan berkorban dalam kehidupan yang ala kadar, malah sampai ke tahap papa kedana. Dalam banyak perkara, kita masih dapat menyumbang sekian-sekian banyak kepada masyarakat tanpa perlu menjadi kaya-raya atau hidup senang. Kita sebenarnya takut melepaskan kesenangan dan kemewahan yang ada, kerana kita tidak mahu kehilangan nikmat itu. Hatta kalau dengan melepaskan dunia itu dapat membeli syurga pun, kita keberatan atau lebih senang disebut tidak mahu.

Salahkah?

Tidak salah mahu bergembira dengan kurniaan Allah, asalkan tidak melampaui batas. Fitrah manusia itu menyenangi keelokan dan kekayaan. Tapi batasnya di mana ya… itu kena cari.

Reality check. Mari realistik dalam membezakan impian dan khayalan, realiti dan ilusi. Mengakui bahawa kita tidak akan selesa kalau tidak dapat makan dan tidur yang cukup, malah merengus-rengus rimas kalau tidak dapat mandi atau menukar pakaian dalam setiap hari. Kebebasan daripada belenggu dunia itu sungguh-sungguh indah, tetapi fasa transisi yang menuntut tajarrud daripada semua kebiasaan dan kemahuan nafsu itu terlalu sukar untuk ditempuh oleh kebanyakan orang – oleh kita. Untuk berjaya melaluinya dan come out of the other side unscathed and glowing, memerlukan kekuatan fizikal dan spiritual yang terpimpin, kalau tidak lain pula jadinya. Kebebasan tidak terpandu, melanda mereka yang telah mencubanya secara impulsif, seperti golongan seniman bohemian di Barat, golongan hippies dan flower people, membuka ruang seluas-luasnya untuk seks bebas, arak, dadah, pornografi dan segala macam telatah cabul atas nama seni dan kemerdekaan berekspresi.

Mari realistik dalam merancang ruang-ruang mana yang terbuka untuk kita berbakti, dan setakat mana pengorbanan yang kita mampu (mahu) berikan. Setabah mana kita sanggup berusaha mendidik diri agar takat pengorbanan itu meningkat seiring dengan bertambahnya pengalaman dan usia.

Mari jujur dengan diri sendiri, atas sebab apa sebenarnya kita melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu, supaya tidak menjadi seperti pungguk yang menipu diri sendiri, mencari bulan di puncak tiang lampu, sedangkan bulan yang sebenar terselindung di sebalik bangunan-bangunan tinggi di tengah bandar raya. Benar, bulan yang tinggi itu hampir mustahil untuk digapai sang pungguk, tetapi setidak-tidaknya ia mengharapkan sesuatu yang jelas dan pasti.

(Perkataan ‘kita’ dalam tulisan di atas boleh sahaja digantikan dengan ‘saya’… mungkin saya sahaja yang sibuk berangan-angan dan menipu diri lantas digesa oleh sub-conscious mind untuk menulis artikel ini untuk menyedarkan diri sendiri.)

Saya masih lagi sayangkan dunia saya,saya masih lagi sukakan kerehatan dan kemewahan,saya masih rasa berat utk bersusah2 demi risalah ini.ya Allah bantulah aku buang semua ini dalam hatiku